Sejarah A.C. ChievoVerona

Tahun awal

Barisan pemain Chievo pada 1929 dengan baju bercorak kotak.

Chievo Verona ditubuhkan pada 1929 oleh beberapa bilangan peminat yang datang dari kota kecil Chievo, kawasan kejiranan Verona. Pada mulanya, kelab ini tidak bergabung dengan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) tetapi mereka tetap bermain dalam beberapa kejuaraan amatur dan perlawanan persahabatan di bawah nama "O.N.D. Chievo," nama kelab yang dipaksa tukar oleh rejim fasis. Kelab ini mula melakukan debut di kejohanan liga rasmi pada 8 November 1931. Warna kelab pada masa itu ialah warna biru dan putih. Kelab ini dibubarkan pada 1936 dan walau bagaimanapun, akibat masalah ekonomi, mereka mula bermain pada 1948 selepas Perang Dunia Kedua dan mendaftar di liga daerah Seconda Divisione" (Divisyen Kedua). Pada tahun 1957, pasukan ini berpindah ke padang "Carlantonio Bottagisio" dan mereka bermain di situ sehinggalah pada tahun 1986. Pada 1959, selepas penstrukturan semula liga, Chievo dibenarkan untuk bermain di "Seconda Categoria" (Kategori Kedua), sebuah liga daerah yang berada di kedudukan kedua terakhir dalam sistem bola sepak Itali. Pada tahun itu, kelab ini mengubah namanya kepada "Cardi Chievo," selepas memperoleh tajaan baru dan dengan segeranya, mereka mara ke "Prima Categoria" buat kali pertama selepas tersingkir dari divisyen itu pada 1962.

Siri-siri kenaikan

Pada 1964, Luigi Campedelli, seorang ahli perniagaan dan pemilik syarikat Paluani menjadi pengerusi baharu Chievo. Di bawah tempoh presiden Campedelli, Chievo melangkah ke Serie D selepas musim 1974-75. Di bawah nama "Paluani Chievo," pasukan ini memasuki Serie C2 pada 1986. Oleh kerana mereka beraksi divisyen ketiga Itali, Chievo dipaksa berpindah ke Stadio Marcantonio Bentegodi, venue utama Verona dan mereka memperoleh kenaikan lagi untuk ke Serie C1 pada 1989. Pada tahun 1990, mereka menukar nama kelab kepada "A.C. Chievo Verona" dan digunakan sehingga kini.

Pada 1992, Presiden Luigi Campedelli yang menerajui kelab dua tahun sebelumnya telah meninggal dunia akibat serangan jantung dan jawatan beliau sebagai presiden kelab diambil alih oleh anak lelakinya, Luca Campedelli yang baru berusia 23 tahun membuatkannya sebagi presiden termuda dalam sejarah bola sepak profesional Itali. Luca Campedelli melantik Giovanni Sartori sebagai direktor bola sepak dan menamakan Alberto Malesani sebagai ketua jurulatih baharu. Di bawah Malesani, pasukan ini menjuarai Serie C1 dan dinaikkan ke Serie B sekali gus memulakan pertembungan antara pesaing kota, Hellas Verona yang bermain di Serie B pada masaitu. Pada 1997, selepas Malesani menandatangani kontrak dengan Fiorentina, Silvio Baldini dilantik sebagai ketua jurulatih baru. Pada musim berikutnya, di bawah pengurusan Domenico Caso sebagai jurulatih, Chievo menyaksikan pemecatan pertama jurulatih di bawah tempoh Luca Campedelli dan tempat Caso digantikan oleh Lorenzo Balestro. Pada tahun-tahun itu, kelab ini mendapat nama samaran "mussi volanti" ("flying donkeys"). Ia berasal dari penyokong Hellas Verona yang mengejek dan mencemuh penyokong-penyokong Chievo yang berharap kelab mereka dapat naik ke Serie A jika "keldai mampu terbang" (sepadan dengan falsisme Inggeris, "jika khinzir mampu terbang", yang bermaksud impian yang mustahil tercapai).[2]

Pada musim 2000–01, Luigi Delneri dilantik sebagai jurulatih dan membawa Chievo menamatkan musim di tempat ketiga liga sekali gus melayakkan kelab ini ke Serie A, pencapaian pertama dalam sejarah kelab.

Mussi Volanti (2001–2007)

Luigi Delneri, bekas pengurus Chievo yang membimbing pasukannya untuk memperoleh kenaikan ke Serie A buat musim 2001-02, salah satu pencapaian terbesar dalam sejarah kelab.

Pada musim 2001–02, musim debut Chievo di Serie A yang menyaksikan pasukan ini dikritik dan lebih baik bermain di Serie B. Walau bagaimanapun, mereka menepis segala kritikan itu dan bermain dengan melakar beberapa kejutan dan akhirnya, mereka menamatkan musim di tempat kelima liga, lalu diberi tiket ke Piala UEFA.

Pada musim 2002–03, Chievo beraksi di pentas Eropah buat kali pertama tetapi disingkirkan pada pusingan pertama oleh Red Star Belgrade. Pasukan ini menamatkan musim di Serie A di tempat ketujuh dan sekali lagi membuktikan bahawa kelab ini bermain lebih baik berbanding kelab-kelab Serie A lain. Pada musim 2003–04, musim terakhir Delneri sebagai jurulatih mengemudi Chievo menamatkan musim di tempat kesembilan dalam carta liga.

Musim 2004–05 sentiasa diingati salah satu musim paling sukar dalam sejarah Chievo. Mario Beretta dilantik sebagai ketua jurulatih selepas menjadi pengurus Ternana memulakan musim dengan baik dan membawa Chievo di tempat ketiga liga di belakang Juventus dan Milan namun, pasukan ini secara perlahan-lahan menjunam kehilangan posisi liganya. Dengan baki tiga perlawanan, Chievo dilihat hampir ke zon penyingkiran yang membawanya semula ke Serie B. Beretta dipecat dan Maurizio D'Angelo, bekas pemin Chievo dilantik sebagai jurulatih baru Akhirnya, dengan dua kemenangan terakhir sudah cukup untuk mereka kekal di Serie A.

Pada musim 2005–06, Giuseppe Pillon dari kelab Treviso FBC dilantik sebagai ketua jurulatih baharu. Pasukan ini mula mengulangi kejayaan era Delneri dan dengan beberapa keputusan cemerlang, Chievo menamatkan musim di tempat kesembilan liga dan mempunyai tiket ke Piala UEFA. Walau bagaimanapun, berikutan skandal "Calciopoli" yang melibatkan pasukan tempat teratas liga, kesemua mereka dipotong mata dan memberikan laluan kepada Chievo untuk melonjak pada musim 2005-06 dan akhirnya, "Flying Donkeys" diberikan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah.

Pada 14 Julai 2006, keputusan skandal bola sepak Itali itu diumumkan. Juventus, Milan dan Fiorentina yang asalnya layak ke Liga Juara-Juara 2006-07 manakala Lazio yang asalya layak ke Piala UEFA 2006–07, kesemua digantung dari kejohanan UEFA untuk musim 2006-07 namun, Milan dibenarkan untuk menyertai kejohanan Liga Juara-Juara selepas mereka mengemukakan rayuan ke FIGC. Chievo beraksi bertemu Levski Sofia pada pusingan play-off Liga Juara-Juara dan keputusannya Chievo tewas 4-2 pada agregat. Kekalahan Chievo sekali gus mendapat tempat di kelayakan pusingan terakhir Piala UEFA bertemu wakil Portugal, Braga. Namun, Chievo tetap tewas 3-2 pada agregat lalu disingkirkan dari kejohanan.

Pada 16 Oktober 2006, selepas kekalahan 1-0 kepada Torino, ketua jurulatih Giuseppe Pillon dipecat serta merta dan digantikan oleh Luigi Delneri, salah satu simbol keajaiban Chievo yang membawa kelab ini ke Serie A pada 2002.

Pada 27 Mei 2007, pada hari terakhir musim 2006-07, Chievo salah satu pasukan yang berkemungkinan akan menghuni zon penyingkiran. Mereka hanya perlu seri pada perlawanan menentang Catania. Chievo tewas 2-0 dan antara pasukan lain, Bologna, Parma, Siena dan Reggina memenangi perlawanan masing-masing lalu menghukum Chievo ke Serie B untuk musim 2007-08 selepas enam musim mendiami divisyen tertinggi Itali itu.

Setahun bersama Cadetti (2007–08)

Chievo bangkit semula dari kekecewaan mereka selepas disingkirkan pada hari terakhir musim 2006-07 dengan kembali semula ke Serie A. Di samping itu, mereka juga mempunyai beberapa pemain kualiti seperti Franco Semioli, Salvatore Lanna, Matteo Brighi, Paolo Sammarco dan Erjon Bogdani manakala pengurus Delneri pula meninggalkan kelab. Giuseppe Iachini menggantikan beliau dan kapten, Lorenzo D'Anna membeikan laluan kepada Sergio Pellissier sebagai kapten baharu selepas beliau berpindah pada jendela perpindahan musim. Skuad baru dibina semula termasuk ketibaan Maurizio Ciaramitaro, Simone Bentivoglio, César dan Antimo Iunco. Dengan itu, mereka meraih kejuaraan liga pertamanya di Serie B selain kembali semula ke Serie A buat musim hadapan.

Kembali ke Serie A (2008–)

Pada musim pertama Chievo di Serie A selepas "bermukim" dari Serie B, Chievo menyaksikan pemecatan jurulatih Iachini pada bulan November dan pengganti beliau merupakan bekas jurulatih Parma, Domenico Di Carlo. Selepas perlantikan Di Carlo, Chievo berjaya terselamat dari zon penyingkiran selepas hanya mengutip sembilan mata dari 17 perlawanan pertama mereka.